Social Icons

smktd2

Sunday 9 March 2014

Program ‘Kantin Bersih, Selamat dan Sihat’

Kantin merupakan sebuah tempat atau ruangan yang digemari pelajar sekolah. Masa rehat merupakan masa yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelajar kerana mahu mengisi perut sebagai bekalan tenaga untuk belajar. 

Tanpa disedari kantin juga menjadi tempat komunikasi antara pelajar kerana semua pelajar akan berkumpul di kantin pada sesuatu masa untuk berkongsi maklumat sesama mereka.

Kepentingan kantin di sekolah bukan sahaja dilihat menjadi tempat berhimpun pelajar, tetapi juga tempat menjamu selera makanan yang sihat.  Oleh itu, Program Kantin Bersih, Selamat dan Sihat merupakan satu program yang dapat memaksimumkan penggunaan kantin di sekolah.

Program ‘Kantin Bersih, Selamat dan Sihat’ yang telah dianjurkan di sekolah-sekolah merupakan satu program yang dapat membantu memberikan kesedaran kepada semua warga sekolah terutamanya para pelajar agar menghargai dan mengetahui fungsi kantin sepenuhnya.

 Program ‘Kantin Bersih, Selamat dan Sihat’ merupakan satu inisiatif yang baik dalam memperkembang pengetahuan tentang fungsi kantin dan memanfaatkan kantin secara optimum kepada para pelajar. 

Selain itu, warga sekolah dapat menunjukkan sikap kebersamaan dan kebertanggungjawaban terhadap salah satu kemudahan yang penting yang telah disediakan dalam usaha untuk menceria dan memelihara kebersihan, keselamatan dan keceriaannya. Warga sekolah juga dapat menjaga dan mengekalkan kebersihan serta kekemasan kantin sepanjang masa selain dapat mengamalkan pemakanan yang sihat bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Bertepatan dengan matlamat Program ‘Kantin Bersih, Selamat dan Sihat’ iaitu bagi mewujudkan persekitaran kantin yang sihat, selamat dan pemakanan yang sihat serta kecekapan pengurusan kantin, kesedaran berkaitan kebersihan persekitaran kantin, menjaga aspek keselamatan semasa berada di kantin dan penyediaan makanan dan minuman yang sihat dan berkhasiat kepada warga sekolah terutamanya para pelajar adalah penting.

 Sekolah merupakan satu institusi pembelajaran yang paling sesuai untuk menanam sikap kebersamaaan dalam menjaga kebersihan kantin. Pelajar juga perlu diterap dengan amalan pemakanan yang baik dan berkualiti.

Selain mengutamakan amalan pemakanan yang sihat dan memupuk sikap bertanggungjawab dalam diri pelajar, program ini juga menekankan kepada aspek keselamatan warga sekolah terutamanya pelajar semasa berada di kantin. Seperti yang sedia maklum, kantin menggunakan pelbagai peralatan yang boleh mengundang kemalangan, contohnya kebakaran. Selain itu, saiz kantin yang terhad dan menjadi tempat berkumpul pelajar pada waktu rehat dalam satu-satu masa mungkin boleh mengakibatkan kemalangan lain, contohnya terjatuh. Program ini dapat memberikan kesedaran kepada pihak sekolah dan pengurusan kantin agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pengguna semasa berada di kantin.


Oleh itu, Program ‘Kantin Bersih, Selamat dan Sihat’ perlulah dijadikan sebagai program sepanjang tahun agar kualiti kantin dapat ditingkatkan dan budaya penggunaan kantin yang betul dapat dilaksanakan dalam kalangan warga SMK Taman Daya 2.

No comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates